Friday 25 February 2011

Sepintas Lalu Sejarah Penubuhan Kamar Cetusan Tasik

           Idea  awal penubuhan bilik operasi Sidang Redaksi ini dicetuskan oleh  Pn. Norzuraidah bt Md Nor, apabila beliau dilantik menjadi Guru Penyelaras Majalah pada tahun 2008, menggantikan Pn. Hasnani bt Mahmood. Pada pendapat beliau, sebuah bilik operasi untuk menjalankan  kerja-kerja penerbitan majalah adalah sangat perlu bagi menyediakan suasana kerja yang selesa kepada guru dan ahli-ahli Sidang Redaksi. Justeru, beliau memohon sebuah bilik kecil yang terpencil di aras 2 blok Titiwangsa daripada Pn. Zaini bt Mohammad Zain, Pengetua SMKTT untuk dijadikan bilik operasi Sidang Redaksi. Atas dasar keprihatinan seorang majikan terhadap permintaan pekerjanya demi kelancaran tugas yang telah dipertanggungjawabkan, maka Pn. Zaini telah meluluskan permohonan tersebut. Akhirnya Pn. Norzuraidah dan  ahli-ahli Sidang Redaksi tahun 2008 mula mengemas bilik kecil tersebut dan wujudlah bilik operasi Sidang Redaksi tanpa sebarang perabot dan kemudahan untuk bekerja.

           Pada akhir tahun   2008, Pn. Norzuraidah telah memohon perabot-perabot terpakai   daripada Mr. Lye Jin San iaitu guru perabot sekolah dan memohon sumbangan PIBG untuk membeli sebuah komputer baharu di samping  2 buah komputer terpakai yang didapati dari Bilik Akses Kendiri.
Pada awal tahun 2009, Pn. Norzuraidah bersama-sama ahli Sidang Redaksi tahun 2009 telah membaik pulih  dan mengecat  serta menghias bilik tersebut.

          Bilik operasi Sidang Redaksi SMKTT akhirnya  telah dirasmikan pembukaannya oleh Pn. Zaini bt Mohammad Zain  dalam satu majlis ringkas iaitu pada 2 Februari 2009.  Bilik ini  dinamakan sebagai Kamar Cetusan Tasik.. Kini, bilik tersebut dilengkapi dengan sebuah lagi komputer baharu sumbangan PIBG.  Atas persetujuan  Pengetua, Pn. Norzuraidah telah membeli sebuah camera Nixon pada Mei 2010, menggunakan  baki hasil kutipan iklan  tahun 2009 untuk  kegunaan ahli Sidang Redaksi merakam gambar-gambar peristiwa sepanjang tahun.



Selayang Pandang

        Assalamualaikum para pembaca budiman…,  bertemu kita julung-julung kalinya di laman maya ini, maka salam perkenalan saya hulurkan. 

        Alhamdulillah, dengan keizinan-Nya, akhirnya Sidang Redaksi SMK Taman Tasik telah berjaya menghasilkan blognya sendiri atas idea Pn. Roiamah bt Basri, guru ICT SMK Taman Tasik.  Tujuan diadakan blog ini adalah untuk merakamkan dan memaparkan segala aktiviti ahli Sidang Redaksi SMK Taman Tasik sejak tahun 2008 hingga kini. Segala aktiviti yang dipaparkan sama ada dalam bentuk gambar, laporan, catatan, cerita dan sebagainya diharap dapat menjadi kenangan terindah kepada ahli Sidang Redaksi SMK Taman Tasik yang pernah memberi sumbangan dan bakti yang ikhlas kepada Unit Majalah SMK Taman Tasik dalam usaha menerbitkan majalah kebangaan warga SMKTT iaitu Majalah Cetusan Tasik.

        Saya sebagai Guru Penyelaras Majalah SMK Taman Tasik amat berbangga dengan semua anak didik saya  yang pernah menjadi ahli Sidang Redaksi SMKTT sejak tahun 2008 kerana komitmen yang ditunjukkan oleh mereka. Mereka sangat rajin, komited dan tekun menjalankan tugas masing-masing.   Di sini saya mengucapkan ribuan ucapan terima kasih kepada mereka kerana banyak membantu saya selama ini.  Saya pasti rebah tanpa mereka.

       Akhir kalam…nikmatilah segala yang dipaparkan di sini dengan hati yang terbuka. Jika ada sebarang pendapat atau komen, silalah tulis komen anda untuk menambah baik isi kandungan blog ini. Jika ada kekurangan di mana-mana, mohon maaf saya pinta kerana kekhilafan itu ialah teman manusia sesungguhnya.

Sekian, salam kasih sayang…